Singkirkan Najib dari Umno, Jangan Takut!



Beberapa pemimpin kanan Umno memberikan saranan supaya bekas presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak di ketepikan parti itu, terus mendapat momentum.

Di Facebook, pendapat sama disuarakan bekas ketua menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dengan berkata kepemimpinan Umno mesti berani membuat keputusan untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak, bekas presidennya.


“Jika Umno benar-benar berazam untuk berubah dan memperbetulkan imejnya yang rosak musnah di kaca mata ahli-ahli dan rakyat jelata, kepemimpinan mesti berani membuat keputusan untuk menyingkirkan keahlian Najib sebagai tanda komitmen perjuangan parti.

"Rakyat akan menghargai bahawa dalam perjuangan untuk negara, kebijaksanaan dan tanggungjawab agung Umno adalah memilih kepentingan rakyat sebagai keutamaan nasional yang jauh lebih besar dari hanya terkial-kial mempertahankan kepentingan mana-mana individu tertentu," katanya.

Menurut Rahim, pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), ahli dan kepemimpinan Umno akan menerima padah jika masih malu untuk membuka mulut, takut serta gentar bersuara terhadap salah laku mana-mana pemimpin.

“Ramai masih sayang dan hormat kepada bekas presiden Umno yang lalu termasuk saya sendiri yang telah berjuang bersama-sama beliau sejak zaman Pemuda dulu.

“Tapi penyingkiran keahlian Umno terhadap bekas presiden Umno oleh Umno sendiri akan dilihat dan dirasai rakyat satu pengorbanan politik yang amat besar dan satu manifestasi gergasi parti yang keramat ini untuk mempastikan rakyat akan menyokong perjuangannya di masa akan datang tanpa apa-apa keraguan atau prasangka buruk,” katanya.

sumber : malaysiakini.com

close
==[ Close ]==