Pegawai Keselamatan Disyaki Curi Duit Pejabat Najib



Dakwaan mencuri wang tunai berjumlah RM3.5 juta daripada pejabat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam pilihan raya umum ke-14 lalu, didakwakan kepada pegawai-pegawai keselamatan di Jabatan Perdana Menteri yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini (8 Ogs)

Seramai 17 anggota keselamatan mengambil wang itu - yang dikatakan SPRM sebahagian dana pilihan raya Umno- apabila mengetahui "BN tewas pilihan raya."

"Para anggota keselamatan adalah sebahagian daripada pasukan bertugas malam itu untuk menyediakan kawalan keselamatan di jabatan berkenaan.

"Mereka yang ditangkap adalah orang yang pada masa itu ditugaskan untuk menjaga bangunan utama di mana terletaknya pejabat perdana menteri.

"Dipercayai apabila mereka mengetahui BN akan kalah pilihan raya, mereka memutuskan untuk mengambil sesuatu untuk diri mereka sendiri dan masuk ke pejabat bekas perdana menteri," kata seorang sumber.

Wang itu tidak disimpan dalam peti keselamatan. Pihak berkuasa mengesyaki wang tunai yang didapati di pejabat berkenaan telah disapu bersih kumpulan berkenaan.

Penglibatan suspek mula dicurigai pihak berkuasa apabila mereka dilihat menayangkan kemewahan mereka secara mendadak, termasuk membeli motosikal baru.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki mengesahkan bahawa anggota keselamatan berkenaan sedang disiasat, namun enggan mengulas lanjut. Ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu hari ini, SPRM memperoleh perintah tahanan reman selama lima hari terhadap suspek, berusia antara 31 dan 51 tahun di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Wang tunai berjumlah RM840,700 daripada suspek telah dirampas oleh SPRM, bersama sembilan motosikal bernilai RM90,000.

sumber : malaysiakini.com

close
==[ Close ]==